Wednesday 12 October 2011

Sepohon Kayu.wmv





Fakta Pilihan: "SOLAT LIMA WAKTU" - 80 peratus tidak mengerjakannya!?



BERSAMA SEMPURNAKAN SOLAT FARDU

SOLAT atau sembahyang merupakan ibadat yang amat penting bagi setiap Muslim yang mukalaf kerana ia adalah fardu ain. Ini diperkuatkan dengan sebuah hadis Nabi yang bermaksud: Solat itu tiang agama, sesiapa yang mendirikan solat bererti mendirikan agama dan sesiapa yang meninggalkan solat bererti ia meninggalkan agama.Pun begitu, pakar motivasi dan penceramah bebas terkemuka, Datuk Dr. Mohd Fadzilah Kamsah, mendedahkan 80 peratus umat Islam di Malaysia masih tidak menyempurnakan solat lima waktu dalam sehari.Peratusan angka ini diperoleh melalui tinjauan beliau menerusi program-program ceramah dan motivasi, yang dijalankan di seluruh negara serta pemerhatian terhadap gaya hidup masyarakat Islam masa kini.

``Mereka boleh berada di padang bola lebih dari satu jam, peniaga pasar malam terlalu sibuk melayan pelanggan sehingga terlupa menunaikan solat biarpun hanya mengambil masa 15 atau 20 minit. ``Malah ada juga yang sanggup membuang masa di pusat membeli-belah, pusat karaoke, menyaksikan konsert, menonton perlawanan bola sepak, terlibat dengan lumba motor haram selama berjam-jam tetapi mengabaikan taklif agama yang mengambil masa pendek,'' kata Dr. Fadzilah dengan suara tersekat-sekat menahan sebak pada majlis pelancaran album motivasinya yang berlangsung di salah sebuah hotel terkemuka di Jalan Pahang, Kuala Lumpur,baru-baru ini.

Tambah beliau, hanya sekitar 17 hingga 20 peratus yang menunaikan solat fardu cukup lima waktu dalam sehari. Jumlah ini terlalu kecil sekiranya dibandingkan dengan jumlah penganut agama Islam di negara ini. Lebih menyedihkan, senario yang berlaku di kalangan pelajar sekolah menengah, iaitu hanya 15 peratus sahaja mengakui bersembahyang lima kali sehari. Kekecewaan dan kebimbangan Dr. Fadzilah jelas tergambar apabila beliau tidak dapat membendung air mata dan menangis, membuatkan hadirin tergamam seketika. ``Biarpun masa yang diperlukan itu pendek, tetapi banyak orang yang ingkar untuk melakukannya kerana tidak menghayati ibadah tersebut, natijah daripada tidak ada latar belakang pembelajaran agama.``Kewajipan solat sering dipandang remeh atau dianggap tidak ada nilai sensasi untuk diketengahkan kepada umum. ``Namun hakikatnya, ia terpaksa disampaikan ke pengetahuan semua kerana saya khuatir umat Islam akan menuju kehancuran apabila umatnya sudah seperti penganut agama lain yang sembahyang mengikut kehendak sendiri atau suka-suka sahaja,'' terang beliau.

Kata Dr. Fadzilah lagi, kepincangan ini terpikul di bahu setiap individu Islam itu sendiri, bak kata pepatah Melayu, tepuk dada tanya hati. Di dalam al-Quran, banyak firman Allah yang memerintahkan kita mengerjakan solat, antaranya dalam surah al-Baqarah ayat 43 yang bermaksud: 

Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang yang rukuk.

SOLAT DAN KEHIDUPAN

SOLAT bukan sahaja pengukur kepatuhan Muslim terhadap Allah tetapi juga memberi kekuatan dalaman kepada individu yang mengamalkannya. APABILA disebut perkataan solat atau sembahyang maka tergambar di hadapan kita orang yang patuh kepada ajaran agama Islam, mengamalkannya sekurang-kurangnya lima kali sehari semalam demi menyahut perintah Ilahi. Umumnya, orang Islam mengetahui bahawa solat fardu lima waktu sehari semalam merupakan perintah Tuhan yang asas (fundamental) kepada setiap Muslim yang normal apabila dia mencapai peringkat umur tertentu yang lazimnya dipanggil akil baligh. 

Jadi, bagi seorang individu Muslim normal yang patuh kepada ajaran agamanya, amalan solat menjadi satu kemestian di dalam kehidupan sehariannya. Sekiranya amalan yang suci ini diamalkan secara berterusan semenjak kecil lagi, tentulah setelah berpuluh-puluh tahun mengamalkan amalan ini, solat sudah sebati dengan dirinya dan boleh dikatakan sudah menjadi darah dagingnya. Alangkah bertuah individu ini kerana daripada amalan solat yang sudah menjadi darah dagingnya itu, tentulah dia sudah mendapat pelbagai manfaat dan barakah 
sama ada yang disedarinya atau pun tidak. 

Adalah diharapkan setiap individu yang mengaku dirinya Muslim akan sentiasa mengamalkan amalan yang mulia ini supaya kehidupan seharian menjadi tenteram, harmoni, dan sentiasa diberkati lagi produktif. Sekarang mari kita alih medan perbincangan ini kepada menghalusi kemanfaatan solat yang menjurus kepada aspek yang lebih spesifik. Lazimnya, apabila kita mendengar orang berbicara tentang solat, kupasan yang diberi berlegar di sekitar rukun-rukun solat, perkara sunat dalam solat, perkara-perkara yang membatalkan solat, perkara-perkara yang harus dalam solat, waktu-waktu solat, dan pelbagai lagi aspek yang khusyuk dalam amalan solat. 


Jarang kita mendengar orang memperkatakan tentang praktikalnya solat dalam proses penyelesaian masalah kehidupan yang sedang dihadapi, kaitan solat dengan pembangunan ekonomi sesebuah negara. Solat dalam pembangunan modal insan, peranan solat dalam mengurangkan gejala rasuah, fungsi solat dalam meningkatkan kecekapan dan produktiviti sesebuah organisasi, peranan solat dalam memperkukuhkan benteng pertahanan negara, asas kendiri iaitu daya juang dan daya tahan yang boleh dibina melalui amalan solat untuk mencapai cita-cita yang diinginkan, dan pelbagai lagi aspek kehidupan yang boleh terfikir oleh kita yang ada hubung kait dengan kerelevanan amalan solat yang diamalkan secara tekal dan istiqamah.