Wednesday 12 October 2011

SOLAT DAN KEHIDUPAN

SOLAT bukan sahaja pengukur kepatuhan Muslim terhadap Allah tetapi juga memberi kekuatan dalaman kepada individu yang mengamalkannya. APABILA disebut perkataan solat atau sembahyang maka tergambar di hadapan kita orang yang patuh kepada ajaran agama Islam, mengamalkannya sekurang-kurangnya lima kali sehari semalam demi menyahut perintah Ilahi. Umumnya, orang Islam mengetahui bahawa solat fardu lima waktu sehari semalam merupakan perintah Tuhan yang asas (fundamental) kepada setiap Muslim yang normal apabila dia mencapai peringkat umur tertentu yang lazimnya dipanggil akil baligh. 

Jadi, bagi seorang individu Muslim normal yang patuh kepada ajaran agamanya, amalan solat menjadi satu kemestian di dalam kehidupan sehariannya. Sekiranya amalan yang suci ini diamalkan secara berterusan semenjak kecil lagi, tentulah setelah berpuluh-puluh tahun mengamalkan amalan ini, solat sudah sebati dengan dirinya dan boleh dikatakan sudah menjadi darah dagingnya. Alangkah bertuah individu ini kerana daripada amalan solat yang sudah menjadi darah dagingnya itu, tentulah dia sudah mendapat pelbagai manfaat dan barakah 
sama ada yang disedarinya atau pun tidak. 

Adalah diharapkan setiap individu yang mengaku dirinya Muslim akan sentiasa mengamalkan amalan yang mulia ini supaya kehidupan seharian menjadi tenteram, harmoni, dan sentiasa diberkati lagi produktif. Sekarang mari kita alih medan perbincangan ini kepada menghalusi kemanfaatan solat yang menjurus kepada aspek yang lebih spesifik. Lazimnya, apabila kita mendengar orang berbicara tentang solat, kupasan yang diberi berlegar di sekitar rukun-rukun solat, perkara sunat dalam solat, perkara-perkara yang membatalkan solat, perkara-perkara yang harus dalam solat, waktu-waktu solat, dan pelbagai lagi aspek yang khusyuk dalam amalan solat. 


Jarang kita mendengar orang memperkatakan tentang praktikalnya solat dalam proses penyelesaian masalah kehidupan yang sedang dihadapi, kaitan solat dengan pembangunan ekonomi sesebuah negara. Solat dalam pembangunan modal insan, peranan solat dalam mengurangkan gejala rasuah, fungsi solat dalam meningkatkan kecekapan dan produktiviti sesebuah organisasi, peranan solat dalam memperkukuhkan benteng pertahanan negara, asas kendiri iaitu daya juang dan daya tahan yang boleh dibina melalui amalan solat untuk mencapai cita-cita yang diinginkan, dan pelbagai lagi aspek kehidupan yang boleh terfikir oleh kita yang ada hubung kait dengan kerelevanan amalan solat yang diamalkan secara tekal dan istiqamah. 

1 comment:

  1. Amat bermanfaat untuk dikongsi bersama. Selamat berterusan menulis demi memartabatkan Islam di negara tercinta ini dan keseluruhan jagat ini. Allahu Akbar!!!

    ReplyDelete